KENAPA KERETA SEMPUT BILA TEKAN MINYAK


Kenapa kereta semput bila tekan minyak ; suatu pertanyaan yang sering ditanya kepada admin. Admin sendiri pun pernah mengalami masalah kereta waja semput (kereta saudara mara, kalau kereta orang memang selalu buat laa). Memang ramai yang mengalami masalah seperti ini. Masalah semput adalah suatu masalah yang biasa berlaku.

Tanda spark plug kereta rosak, tanda distributor rosak adalah merupakan tanda-tanda yang biasa berlaku. Selain dari itu juga masalah pada fuel filter, fuel pump, injector atau karburetor juga sering menjadi penyebab kepada masalah ini.

Teori utama kepada masalah ini adalah disebabkan pembakaran campuran udara / bahan api yang tidak sempurna di dalam enjin. Kebiasaannya ia bukanlah suatu masalah yang besar atau serius. Namun jika dibiar berpanjangan dikhuatiri akan mendatangkan masalah-masalah yang lain pula.


Kenapa dan Mengapa Kereta Semput Bila Tekan Minyak


Dengan bahasa mudahnya, kebiasaannya masalah ini disebabkan oleh segala sesuatu yang berkaitan sistem pencucuhan (ignition), atau segala sesuatu yang berkaitan sistem bahan api (fuel system), atau segala sesuatu yang berkaitan sistem pengambilan (intake system).

Baca : Tanda-Tanda Kegagalan Alternator dan Cara Asas Menguji Fungsinya

Dimudahkan lagi, sistem pencucuhan adalah segala sesuatu yang berkaitan api pada spark plug, manakala sistem bahan api adalah segala sesuatu yang berkaitan suapan petrol ke enjin, manakala sistem pengambilan pula adalah segala sesuatu yang berkaitan kemasukan udara ke dalam silinder.


Kebiasaannya sistem pencucuhan berkaitan bateri, wiring, suis ignition, ecu, sensor, distributor, coil pack, high tension cable dan akhir sekali spark plug.

Sistem bahan api kebiasaannya berkaitan tangki petrol, pipe line, fuel filter, fuel pump, pressure regulator, fuel injector ataupun karburetor.

Manakala sistem pengambilan pula kebiasaannya berkaitan air filter, mass air flow sensor, throttle body, air temperature sensor,  manifold absolute pressure sensor, intake manifold dan akhir sekali vacuum line.

  • Salah satu ilmu asas dalam mengenal pasti masalah, mulakan dari bahagian yang paling mudah dan bernilai rendah dahulu. Jangan mulakan dari bahagian-bahagian yang sukar dan bernilai tinggi.
  • Walaupun terdapat banyak penyebab yang boleh menjadi punca masalah, namun kebiasaannya hanya satu bahagian sahaja yang bermasalah dalam satu-satu masa. Amat jarang-jarang terjadi lebih dari satu bahagian yang bermasalah dalam satu-satu masa.
  • Kebiasaannya masalah kereta semput bila tekan minyak melibatkan sistem pencucuhan (ignition system), sistem bahan api (fuel supply system) dan adakalanya berkaitan sistem kemasukan udara (air intake system).
  • Sekiranya lampu enjin menyala (check engine light), jangan membuang masa dan usaha mencari masalah terlebih dahulu. Apa yang penting, penyebab lampu enjin menyala perlu diketahui terlebih dahulu dengan menggunakan scan tool.
Automotive Scan Tool
foto : ebay

Baiklah, sekarang kita telah pun mengetahui beberapa teori asas dan langkah-langkah asas dalam mengenal pasti masalah. Berikut admin senaraikan pelbagai penyebab yang boleh menyebabkan masalah ini.

Baca : Enjin Overheat - Amaran Penting Untuk Anda Ketahui

Perlu diingat kembali, proses mengenal pasti masalah dimulai dari bahagian yang mudah dan bernilai rendah dahulu. Berikut disenaraikan kemungkinan penyebab-penyebab yang berkaitan.


Penyebab-Penyebab Kereta Semput Bila Tekan Minyak


  1. Tanda spark plug kereta rosak (lihat google images)...masalah spark plug kong adalah masalah yang sangat-sangat lazim berlaku. Apabila plug menjadi kong, spark yang terhasil menjadi lemah lalu mengakibatkan pembakaran udara / bahan api yang tidak sempurna.
  2. Masalah kabel spark plug (lihat google images)...binaan dalaman kabel spark plug kebiasaannya diperbuat daripada serbuk karbon mampat (untuk menghambat RFI). Seiring perjalanan masa, kerosakan, kehausan dan penurunan prestasi akan berlaku. Ini seterusnya menyebabkan penghantaran voltan tinggi ke spark plug terganggu lalu berakibat pembakaran udara / bahan api yang tidak sempurna.
  3. Tanda distributor rosak (lihat google images)...masalah berkaitan distributor adalah masalah yang sangat-sangat lazim berlaku. Tidak mengira sama ada distributor mekanikal (contact point) mahupun elektronik. Bagi distributor mekanikal, masalah berkaitan contact point dan condenser (capacitor) yang sering terjadi. Manakala bagi distributor elektronik, masalah berkaitan ignition coil binaan dalam yang sering berlaku (kalau rosak, kena tukar seketul).
  4. Tanda coil plug kereta rosak (lihat google images)...masalah ignition coil rosak memang sering terjadi. Apabila coil mulai bermasalah, maka kesannya spark yang terhasil pada plug akan terganggu. Ini seterusnya mengakibatkan pembakaran udara / bahan api di dalam silinder tidak sempurna.
  5. Masalah penapis udara (air filter) tersumbat (lihat google images)...masalah air filter tersumbat memang sering berlaku. Sekiranya air filter digunakan terlalu lama, masalah tersumbat biasa terjadi. Air filter yang tersumbat juga akan meningkatkan penggunaan bahan api.
  6. Masalah fuel filter tersumbat (lihat google images)...fuel filter yang telah digunakan terlalu lama juga boleh mendatangkan masalah. Kebiasaannya masalah tersumbat akan terjadi. Ini juga biasa menjadi penyebab masalah semput pada kereta.
  7. Masalah karburetor tersumbat (lihat google images)...masalah karburetor tersumbat sering juga terjadi. Seiring perjalanan masa, kotoran dan mendapan biasa terbentuk di dalam karburetor. Ini juga sering menjadi penyebab masalah kereta semput. Karburetor perlu dibuka dan diservis.
  8. Tanda fuel pump rosak (lihat google images)...kerosakan berkaitan fuel pump kebiasaannya terbahagi kepada dua kategori. Pertama, fuel pump yang rosak terus. Jika fuel pump sepenuhnya rosak, ia akan berakibat enjin langsung tak boleh dihidupkan. Kedua, tekanan pam tidak mencukupi. Jika tekanan pam tidak mencukupi, ianya juga boleh menyebabkan masalah semput. Enjin mungkin hidup dalam keadaan melahu (idle) tetapi akan semput apabila pedal throttle ditekan. Adakalanya ujian tekanan fuel pump perlu dilakukan untuk mengenal pasti punca masalah.
  9. Masalah berkaitan fuel injector (lihat google images)...kegagalan fungsi normal fuel injector sememangnya boleh menyebabkan masalah semput. Diantara penyebab-penyebab berkaitan seperti kerosakan, kotor, tersumbat dan kepincangan proses buka dan tutup injector itu sendiri. Masalah-masalah ini juga boleh menyebabkan suntikan bahan api ke dalam silinder menjadi terlalu 'rich' atau 'lean'. Kepincangan suntikan bahan api ideal boleh mencetuskan lampu amaran check engine pada meter paparan pemandu.
  10. Masalah berkaitan fuel pressure regulator (lihat google images)...sesuai dengan namanya sebagai pengatur tekanan, pressure regulator juga adalah salah satu komponen yang penting, terutama pada kenderaan fuel injection. Fungsi utamanya adalah mengatur tekanan bahan api yang ideal dalam fuel system. Kepincangan fungsi pressure regulator akan mengganggu suntikan bahan api yang ideal ke dalam silinder. Ia juga menjadi salah satu penyebab masalah semput pada kenderaan.


Penyebab-Penyebab Lain Kereta Semput Bila Tekan Minyak


  • Masalah berkaitan mass air flow sensor (lihat google images)...fungsi asas mass air flow sensor adalah untuk mengukur volume udara yang masuk ke dalam silinder. Data yang diperolehi pada sensor ini kemudiannya akan diproses oleh ECU. ECU kemudiannya dapat mengenal pasti dan melaras pancitan bahan api ideal ke dalam silinder mengikut volume udara yang masuk. Masalah pada mass air flow sensor adakalanya juga akan menyebabkan semput pada kenderaan.
  • Masalah berkaitan throttle body (lihat google images)...fungsi asas throttle body adalah untuk membuka dan menutup kemasukan udara ke dalam silinder. Proses buka dan tutup tersebut adalah dikawal sepenuhnya oleh pemandu melalui pedal pendikit minyak. Throttle body yang bermasalah juga boleh menyebabkan kenderaan semput, sebagai contoh masalah pada throttle position sensor.
  • Masalah berkaitan air temperature sensor atau manifold absolute pressure sensor (lihat google images)...secara asasnya air temperature sensor adalah untuk mengukur suhu udara yang masuk ke dalam silinder. Manakala MAP sensor pula digunakan untuk mengukur tekanan di dalam intake manifold (vakum atau boost). Kegagalan fungsi salah satu komponen ini juga boleh menyebabkan masalah semput atau kehilangan kuasa pada kenderaan.
  • Masalah berkaitan intake manifold atau vacuum line (lihat google images)...kedua-dua komponen ini kebiasaannya bukan bermasalah rosak, tetapi kebiasaannya masalah berkaitan kebocoran. Jika terdapat kebocoran udara yang besar pada mana-mana bahagian intake manifold atau vacuum line, ini juga boleh menjadi penyebab kereta semput bila tekan minyak. Kebocoran mungkin terjadi pada gasket atau vacuum line yang tercabut / pecah.
  • Masalah berkaitan ECU (lihat google images)...walaupun ECU pada kebiasaannya agak jarang bermasalah, namun adakalanya ECU juga boleh menjadi penyebab masalah semput pada kenderaan. Walaupun ECU amat dipercayai, namun adakalanya komponen yang berasaskan elektrik dan elektronik ini boleh bermasalah atau mengalami penurunan prestasi.


Begitulah serba sedikit admin kongsikan bersama-sama anda pengetahuan yang dimiliki. Kongsikan artikel ini di facebook, twitter ataupun google plus anda. 

Namun bagaimana pula dengan pengalaman anda?? Apakah punca kereta semput yang pernah dialami?? Kongsikannya bersama-sama di ruangan komen. 
























2 Komen untuk "KENAPA KERETA SEMPUT BILA TEKAN MINYAK"

0195916659- abg att. ni no pomen area sg dua , blakang balai polis sg dua penang. Sapa2 ada masalah dengan keta yang dok dekat dengan lokasi tu boleh jumpa dia.orang lama, otai. In shaa allah dipermudahkan.

Terbaik bos boleh tambah ilmu siap ada gambar sangat membantu kalau ada angaran harga lagi perfect bos

Back To Top